Jumaat, 2 April 2010

Nikmat Untuk Kita




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih

Daripada Ibnu Abbas r.a daripada Nabi s.a.w katanya : "Dua nikmat yang ramai orang terpedaya dengannya iaitu nikmat sihat dan masa lapang." (Riwayat Tirmizi)

Saya selongkari makna nikmat. Ia ialah keadaan atau suasana kehidupan yang baik yang dilimpahkan oleh Allah kepada hamba-hambanya. Contoh mudah, anda sihat sekarang bukan? Itu juga nikmat. Anda sakit? Itu juga nikmat,jangan salah tafsir bila sakit maka terus kita tafsirkan ianya bukan nikmat. Sebenarnya ia nikmat merasai sakit, sebab tidak semua merasai kesakitan.

Manusia terlalu kerap lalai, lalai mengigati siapa yang sepatutnya diingati. Kadang-kadang manusia ni tidak mahu bersyukur atas nikmat yang dikurniakan. Contoh lain saya boleh beri, kesenangan, keamanan, dan kelapangan hidup. Senang bila tiada masalah. Aman tidak huru-hara dan banyak masa terluang sebelum waktu sibuk. Bukan ‘sibuk-sibuk’.

Maka yang perlu kita sedar adalah hakikat nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah Taala ini bukanlah berkekalan. Adalah tidak mungkin seseorang itu sihat sepanjang tahun 2009. Tidak demam dan tidak batuk. Atau tidak pening kepala. Tapi tidak mustahil jika ada. Jika ada, saya kira kuat juga antobodi orang ni. Tapi orang yang sihat sepanjang hayat ni pun satu nikmat, tapi adakah dia orang yang bersyukur ? Beramal sebaik mungkin terhadap Allah? Dia berdakwah menyampaikan risalah Islam?

Saya yakin anda juga punya masa lapang. Masa lapang saya klasifikasikan masa yang aman, sunyi dari sebarang pekerjaan dan urusan. Ketika itu, fikiran terasa aman tanpa ada perasaan bimbang dan cemas. Maka sangat wajar untuk manusia merebut peluang ini untuk beramal dengan sebaik-baiknya. Manfaatkan masa lapang ini. Saya juga takut masa lapang saya, saya juga rindu masa sibuk saya. Sentiasa rindu untuk berjuang.

Kebanyakan manusia tidak merebut peluang masa lapang dengan kerja-kerja yang berfaedah, tidak kiralah sama ada untuk kepentingan akhirat mahupun dunia. Jadi rebutlah kemajuan dan kejayaan hidup. Mereka yang tahu menilai hidup sentiasa mengisi masa lapangnya dengan kerja-kerja yang berfaedah bagi dirinya, keluarga dan masyarakat

Badan yang sihat adalah sebesar-besar nikmat Allah kepada kita yang mesti digunakan dengan wajar bagi faedah diri sendiri dan masyarakat. Yang paling ditakuti ialah penyakit manusia yang amat bahaya, saya kira cukup kritikal. Iaitu lalai, suka berangan-angan dan tidak mengatur hidup dengan baik. Hadis Riwatay Tirmizi ini juga turut menyedarkan umat manusia akan erti jihad melawan hawa nafsu dan selalu bekerja untuk faedah hidup di dunia dan akhirat.

Mari kita muhasabah, imbas masa silam yang penuh hitam. Hitam nurani kerana dosa bertimbun. Maka aturlah masa anda dengan sebaiknya. Alhamdulillah, saya juga punya masa lapang. Tapi masa lapang itu saya guna untuk kerja-kerja Islam. Berceramah, mengajar Multimedia, beriadah. Masa itulah sebenarnya emas, cukup berharga buat saya.

DEMI MASA sesungguhnya manusia dalam kerugian melainkan yang beriman dan yang beramal soleh. DEMI MASA sesungguhnya manusia dalam kerugian melainkan nasihat kepada kebenaran dan kesabaran. Gunakan kesempatan yang masih diberi moga kita takkan menyesal. Masa usia kita jangan disiakan kerna ia takkan kembali...

Kembara menuju cinta Ilahi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan