Jumaat, 2 April 2010

Nikmat Untuk Kita




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih

Daripada Ibnu Abbas r.a daripada Nabi s.a.w katanya : "Dua nikmat yang ramai orang terpedaya dengannya iaitu nikmat sihat dan masa lapang." (Riwayat Tirmizi)

Saya selongkari makna nikmat. Ia ialah keadaan atau suasana kehidupan yang baik yang dilimpahkan oleh Allah kepada hamba-hambanya. Contoh mudah, anda sihat sekarang bukan? Itu juga nikmat. Anda sakit? Itu juga nikmat,jangan salah tafsir bila sakit maka terus kita tafsirkan ianya bukan nikmat. Sebenarnya ia nikmat merasai sakit, sebab tidak semua merasai kesakitan.

Manusia terlalu kerap lalai, lalai mengigati siapa yang sepatutnya diingati. Kadang-kadang manusia ni tidak mahu bersyukur atas nikmat yang dikurniakan. Contoh lain saya boleh beri, kesenangan, keamanan, dan kelapangan hidup. Senang bila tiada masalah. Aman tidak huru-hara dan banyak masa terluang sebelum waktu sibuk. Bukan ‘sibuk-sibuk’.

Maka yang perlu kita sedar adalah hakikat nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah Taala ini bukanlah berkekalan. Adalah tidak mungkin seseorang itu sihat sepanjang tahun 2009. Tidak demam dan tidak batuk. Atau tidak pening kepala. Tapi tidak mustahil jika ada. Jika ada, saya kira kuat juga antobodi orang ni. Tapi orang yang sihat sepanjang hayat ni pun satu nikmat, tapi adakah dia orang yang bersyukur ? Beramal sebaik mungkin terhadap Allah? Dia berdakwah menyampaikan risalah Islam?

Saya yakin anda juga punya masa lapang. Masa lapang saya klasifikasikan masa yang aman, sunyi dari sebarang pekerjaan dan urusan. Ketika itu, fikiran terasa aman tanpa ada perasaan bimbang dan cemas. Maka sangat wajar untuk manusia merebut peluang ini untuk beramal dengan sebaik-baiknya. Manfaatkan masa lapang ini. Saya juga takut masa lapang saya, saya juga rindu masa sibuk saya. Sentiasa rindu untuk berjuang.

Kebanyakan manusia tidak merebut peluang masa lapang dengan kerja-kerja yang berfaedah, tidak kiralah sama ada untuk kepentingan akhirat mahupun dunia. Jadi rebutlah kemajuan dan kejayaan hidup. Mereka yang tahu menilai hidup sentiasa mengisi masa lapangnya dengan kerja-kerja yang berfaedah bagi dirinya, keluarga dan masyarakat

Badan yang sihat adalah sebesar-besar nikmat Allah kepada kita yang mesti digunakan dengan wajar bagi faedah diri sendiri dan masyarakat. Yang paling ditakuti ialah penyakit manusia yang amat bahaya, saya kira cukup kritikal. Iaitu lalai, suka berangan-angan dan tidak mengatur hidup dengan baik. Hadis Riwatay Tirmizi ini juga turut menyedarkan umat manusia akan erti jihad melawan hawa nafsu dan selalu bekerja untuk faedah hidup di dunia dan akhirat.

Mari kita muhasabah, imbas masa silam yang penuh hitam. Hitam nurani kerana dosa bertimbun. Maka aturlah masa anda dengan sebaiknya. Alhamdulillah, saya juga punya masa lapang. Tapi masa lapang itu saya guna untuk kerja-kerja Islam. Berceramah, mengajar Multimedia, beriadah. Masa itulah sebenarnya emas, cukup berharga buat saya.

DEMI MASA sesungguhnya manusia dalam kerugian melainkan yang beriman dan yang beramal soleh. DEMI MASA sesungguhnya manusia dalam kerugian melainkan nasihat kepada kebenaran dan kesabaran. Gunakan kesempatan yang masih diberi moga kita takkan menyesal. Masa usia kita jangan disiakan kerna ia takkan kembali...

Kembara menuju cinta Ilahi...

Memahami Ujian

Bissmillahhirrahman Nirrahim..


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh kepada pembaca-pembaca yang budiman...

                    Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T, sekujur tubuh ini masih diberi peluang untuk hidup di Bumi Allah::Bumi Kenyalang. Salam dan selawat buat junjungan Nabi Muhammad S.A.W, para keluarga baginda dan para sahabat baginda. Alhamdulillah, saya merasa gembira dan bersyukur dengan nikmat hari ini, walaupun sedang menahan sakit di bahagian muka dan mulut yang paling merisaukan, melecur akibat 'sun burn' sekembali dari program riadah bersama pelajar di Pantai Buntal. Saya bertawakal terhadap ujian kesihatan ini.


'Sepatutnya hidup aku ni perlu lebih bermakna.' Hampir setiap saya ulangi kata-kata itu, sedangkan maksudnya sukar difahami. Kemudian saya tafsirkannya hidup ini perlu lebih gembira, tidak perlu kepada kesedihan yang berpanjangan, sedangkan kesedihan itu membuat kita sengsara. Menangis hingga mata kembang, menyendiri hingga tak makan, murung...emmm logik ker? Tapi, saya faham itu adalah tribulasi, kesan dalaman dalam diri setelah menerima mehnah, mehnah ni dimaksudkan dengan ujian berbentuk fizikal. Tribulasi adalah perasaan dalaman dalam diri dan hati. 'Feel down' juga adalah tribulasi, sabotaj adalah mehnah. Rasanya itu sudah cukup untuk pembaca memahami, insyaAllah.


Saya kembali bermuhasabah, adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa. Firman Allah Taala dalam Surah Al-Anbiya, ayat 22 yang bermaksud: "Sekiranya ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan selain Allah tentulah kedua-duanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arasy daripada apa yang mereka sifatkan." Saya kembali merenung kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan memikirkan tentang ZatNya. Persoalan saya timbul sendiri, kenapa harus hidup penuh bermakna? Saya melihat jauh, jauh hingga ke suatu masa lampau, terlalu sukar untuk melupakan memori silam yang hampir-hampir menenggelamkan saya dalam dunia yang pancaroba ini. Saya hampir gagal dalam hidup, merancang untuk meninggalkan perjuangan Islam ini,nauzubillah.

Saya klasifikasikan semua ini tidak semudah yang kita rancang. Apa kita kata kita kota, apa kita rancang kita buat. Nampak mudah bukan? Hingga akhirnya saya sendiri dapat merungkai persoalan ini. Akhirnya saya memahami urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah S.W.T. Tidak seharusnya manusia mendahului atau membelakanginya. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Syura, ayat 10 yang bermaksud: "Tentang sesuatu apapun yang kamu berselisih, maka keputusannya (terserlah) kepada Allah (yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah TuhanKu, Kepadanyalah aku bertawakkal dan kepadaNya aku kembali." Dan saya bermuhasabah, mengulang-ngulang firman Allah Taala ini dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud: "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan:'Kami telah beriman', sedangkan mereka tidak diuji dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahu orang-orang yang dusta."


Perkongsian ringkas ini walaupun belum cukup untuk memperincikan situasi sebenar, tetapi memadai bagi saya jika pembaca sekalian berfikir akan makna sebenar mehnah dan tribulasi. Kaitkan ujian yang di timpa atas kalian,pasti setiap dari kita ada kisah duka dan suka. Sekadar perkongsian ringkas, akan saya luahkan sedikit pengalaman hidup, supaya menjadi pengajaran dan tauladan. Bermuhasabahlah...